Sunday 15 January 2017

The Pit : 6


Alex tersenyum kepada ayahnya pagi itu apabila mereka sama-sama bersarapan di meja makan. Dua orang gaji ditugaskan untuk melayan mereka di meja itu hari ini dan masing-masing sibuk dengan tugasan sendiri tanpa bercakap sepatah pun. "Hari ni papa sibuk?" Alex menyoal membuka perbualan. 

"Macam biasa, papa ada mesyuarat dan lawatan ke Antrapole dengan Orendale. Awal kamu bangun pagi ni, Alex. Kamu ada mimpi apa-apa semalam?" Gabenor Anthony menyoal sambil menghirup tehnya.

Alex menggeleng. "Tak ada mimpi apa-apa."

Gabenor Anthony meletakkan cawannya di atas piring. Dia memandang kearah kedua-dua orang gaji berdekata mereka. "Tinggalkan kami." Dia mengarah dan tanpa banyak cakap, kedua-dua orang gaji itu berjalan keluar dari ruang makan dengan senyap. Gabenor Anthony kembali memandang anaknya dan tersenyum. "Alex, tentang mimpi kamu tu... boleh kamu beritahu papa semula?"

"Humm.. macam saya cakap semalam. Ada seseorang yang mengaku dia dari the pit minta saya cari dia di sana." Alex menjawab.

"Bagaimana rupa dia? Lelaki atau perempuan?"

Alex menelan air liurnya. "Saya tak tahu rupa dia, cuma dengar suara dia saja. Mungkin suara perempuan."

"Perempuan?"

Alex mengangguk.

"Berapa kali kamu mimpi macam ni?"

"Dah lama. Sebulan lepas."

"Kenapa baru sekarang kamu beritahu papa?"

Alex mengangkat bahu. "Saya cuma ingat ni mimpi biasa. Lagipun papa cakap the pit tu cuma sebuah penjara, kan? Mustahil ada orang betul-betul cuba berkomunikasi dengan saya dari sana, kan papa?"

Gabenor Anthony mengangguk kecil sambil tersenyum. "Betul tu. Tapi papa harap kamu tak ceritakan mimpi kamu ni pada sesiapa."

"Tak." Alex menjawab sepatah sambil terbayangkan wajah Nick.

"Bagus! Hari ni tutor matematik kamu akan datang sini untuk kelas persediaan kamu ke universiti. Papa harap kamu tak lupa."

Alex tersenyum. "Mana boleh saya terlupa."

Gabenor Anthony meninggalkan rumah itu lima belas minit kemudian selepas selesai makan dan mencium dahi anaknya. "Papa akan cuba balik awal malam ni dan kita makan malam sama-sama, okay?"

Alex tersenyum dan melambai-lambai ayahnya di muka pintu. Sebaik sahaja ayahnya hilang dari pandangan, dia memecut laju menaiki tangga menuju ke biliknya dan mengunci pintu dengan rapat. Dia kemudian menghidupkan laptop yang diberikan oleh Nick dan membuka sebuah perisian paparan kamera video yang disambung pada peranti pepijat yang dipasang di sekitar akses laluan terhad di bangunan-bangunan pentadbiran Mynervia dan juga dalam Great Hall. Dia menghidupkan telefon bimbit model lama yang juga bersambung dengan peranti pepijat dan mula menyambungkan headphonenya untuk mendengar perbualan.

Skrin laptop itu dibahagikan kepada 6 kamera yang setiap satunya diletakkan di 6 tempat berbeza. Pagi itu laluan akses terhad kelihatan agak lengang kerana hanya pegawai kerajaan berpangkat tinggi yang mempunyai kad akses saja dibenarkan memasuki kawasan itu. Semasa melalui kawasan iu semalam, Alex sempat melihat sebuah laluan yang gelap tidak berlampu yang bersambung dengan kawasan akses terhad itu dan Alex mula dapat mengagak yang laluan itu mungkin menuju ke kawasan larangan di Mynervia. Semasa melalui kawasan itu semalam, Alex telah emnyambung sejenis peranti pemintas di jam tangannya yang dapat memintas semua gelombang yang dikeluarkan oleh jam tangan orang yang berdekatan dengannya. Pendek kata, Alex berjaya memintas dan menyalin gelombang yang sama dengan gelombang jam tangan ayahnya untuk digunakan di semua laluan yang dilalui mereka semalam.

Alex mendengar pintu Great Hall telah dibuka dan kesemua ahli majlis mesyuarat telah sedia duduk di tempat masing-masing. Sebaik saja Gabenor Anthony tiba, pintu itu ditutup rapat dan mesyuarat mereka pun bermula.

"Semalam tuan kata anak perempuan tuan dah mula mimpi tentang the pit?" Alex mendengar suara Sir Geoffrey yang tidak sabar.

"Sejak sebulan lalu dia dah mula bermimpi seseorang dari the pit suruh cari dia di sana." Gabenor Anthony menjawab. "Suara perempuan."

"Perempuan?" Lord Hamington pula berkata. "Mungkinkah 'dia tu' yang cuba berkomunikasi dengan Alexandra?"

Dia tu? Siapa dia tu?  Fikir Alex sambil mengerutkan kening, Dia menekan headphone rapat ke telinga cuba mendengar perbincangan mereka dengan lebih jelas.

"Tak mungkin! Kita semua jelas apa kelebihan perempuan tu, bukan? Orang yang berkomunikasi dengan Alex pasti bukan dia." Gabenor Anthony berkata dengan suara yang tegas membuatkan Alex semakin teruja. Dia memang tidak faham siapa yang dimaksudkan oleh mereka, tapi dari cara perbualan ini, mereka sebenarnya sedang merujuk kepada seseorang.

"Lagipun... semasa kita usir dia masuk ke the pit, dia cedera parah. Ada kemungkinan dia dah mati sekarang." Sambung Sir Geoffrey pula.

"Kalau macam tu, orang yang berkomunikasi dengan Cik Alexandra, pastilah unfit yang lain." Suara Lady Miriana pula berkumandang.

Unfit? Adakah golongan Unfit ni adalah seperti Kara yang mempunyai kelebihan? Alex mula menggaru-garu kepalanya.

"Alex dah mula bertanya dan tunjuk minat terhadap the pit. Dia juga nak tahu lokasi pintu masuk ke the pit semalam." Gabenor Anthony berkata. "Sebelum ni dia tak pernah tunjuk minat nak tahu tentang the pit."

"Mungkinkah..." Lord Orendale yang dari tadi berdiam diri mula bersuara. "dia mendapat mimpi yang sama dengan mangsa-mangsa serangan di Light Fortress?"

Jantung Alex mula berdegup kencang. Adakah ini bermaksud semua mangsa yang mati kerana letupan organ dalam badan mengalami mimpi yang sama? Alex pantas menggelengkan kepalanya. Mustahillah Kara yang bertanggungjawab dalam semua kematian tu. Kalau iya, dia pasti sudah mati sekarang sebab Kara telah muncul dalam mimpinya sejak sebulan lalu.

"Tuan Gabenor, aku tahu Alexandra ialah anak kepada tuan dan bakal menggantikan tempat tuan. Tapi, aku tak nak rahsia kita terbongkar sekarang. Aku tak mahu dia mula mengesyaki kita atau mula bercakap-cakap dengan orang lain tentang the pit. Kita dah berusaha mengekalkan Light Fortress sebagai bandar utopia yang harmoni dan bebas dari jenayah dan kacau-bilau. Aku tak mahu hanya sebab dia, semua usaha kita dan rahsia yang kita simpan selama ni terbongkar." Lord Hamington berkata.

Suasana di Great Hall senyap-sunyi untuk seketika membuatkan Alex mula berasa kecut perut. Dia mula rasa tidak sedap hati dengan kata-kata Lord Hamington tadi. Tidak lama kemudian Alex terdengar bunyi deringan telefon.

"Sorry, ada panggilan aku kena jawab." Lord Hamington berkata sambil menekan satu butang berfungsi menjawab panggilan telefon di jam tangannya. "Ada apa?"

"Saya ada laporan penting tentang kejadian di Great Library baru-baru ni." Kedengaran suara lelaki sedang memberi laporan.

"Tentang apa?"

"Ada seorang lagi saksi kejadian pada hari tu, tuan."

Kali ini Alex mula berpeluh sejuk dan bangkit dari kerusi. Dia menekan headphone lebih rapat ke telinga sambil mula berdoa yang laporan itu bukan tentang dirinya.

"Kami ada tengok rakaman CCTV di Great Library dan dapati anak perempuan Tuan Gabenor bersembunyi di belakang rak buku masa kejadian tu. Dia dah nampak semua yang berlaku pada hari tu."

Shit! Darah Alex mula tersirap ke muka. Nampaknya mereka dah tahu yang dia sudah tahu!

Suasana di Great Hall sunyi sepi untuk seketika sebelum Gabenor Anthony memberi arahan dengan suara yang serius dan tegas. "Hamington, kau tahu apa yang patut kau buat. Padamkan ingatan Alex serta-merta!"

Alex bingkas berdiri dan menutup skrin laptop tanpa memadamkannya terlebih dahulu dan menyembunyikannya di bawah tilam. Dia kemudian mencapai beg sandangnya dan tergesa-gesa memasukkan semua peralatan yang dibekalkan oleh Nick semalam. Kata-kata ayahnya tadi menyebabkan jantungnya benar-benar tersentak. Ayahnya sanggup hendak memadamkan ingatannya juga.

Alex menggalas begnya dan dengan headphone yang bersambung pada telefon bimbit masih di telinganya, dia segera memulas tombol pintu bilik dan terlihat Auna sedang berdiri di hadapan biliknya.

"Tutor cik dah sampai.." Kata Auna.

"Beritahu dia kelas hari ni dibatalkan! Aku sibuk." Alex segera menuruni tangga rumah tanpa menunggu jawapan dari Auna dan sempat mengerling ke tingkap kaca depan rumahnya hanya untuk melihat tiga orang lelaki berseragam tentera sedang berjalan ke pintu rumahnya. Dia segera berlari menuju ke pintu belakang dan berharap tiada sesiapa menjangka yang dia akan melarikan diri. Ya, dia akan melarikan diri! Tapi ke mana? Jika dia bersembunyi di mana-mana tempat di Light Fortress ini, sudah pasti dia akan ditemui.

"Anthony, kau betul-betul nak padamkan ingatan Alexandra?" Alex terdengar suara Lord Orendale sedang bercakap dengan ayahnya.

Alex bersembunyi di belakang rumahnya dan dia dapat mendengar loceng pintu rumahnay dibunyikan. Dia harus segera beredar dari situ sambil otaknya ligat berfikir ke mana dia harus melarikan diri. Mustahil dia dapat meloloskan diri dari pegawai tentera yang berkawal di terminal Pole di Palace jika dia hendak ke Nova atau Antrapole.

"Orendale, aku perlu padamkan ingatan dia. Aku tak mahu dia tahu apa-apa tentang apa yang berlaku termasuklah tentang mimpi yang dia kata tu." Jawab Gabenor Anthony

Fikiran Alex mula teringatkan laluan akses terhad semalam. Mungkin dia boleh bersembunyi di situ buat sementara waktu dan fikirkan cara lain untuk meyakinkan ayahnya supaya tidak emmadamkan ingatannya. Alex segera mengangkat kaki dan berjalan laju ke arah bangunan utama pentadbiran sambil cuba mengelak dari bertemu dnegan pegawai tentera. Dia cuba tersenyum kepada pegawai-pegawai kerajaan lain yang berpakaian biasa sedaya-upaya cuba berlagak seperti biasa sehingga Alex berjaya menyelinap masuk ke laluan akses terhad dengan menggunakan jam tangannya yang telah menyalin kod gelombang yang sama seperti kod ayahnya.

"Mungkin dah tiba masanya kau berterus-terang pada Alexandra. Lagipun dia bakal menggantikan tempat kau satu hari nanti." Kedengaran suara Lord Orendale lagi dari corong headphone Alex.

"Tak boleh! Aku tak boleh beritahu dia apa-apa selagi aku dapat pastikan yang dia bukan salah seorang daripada mereka." Kali ini suara ayahnya kelihatan kedengaran tegas.

Salah seorang daripada mereka? Alex mengerutkan dahinya tidak memahami apa yang dikatakan ayahnya tadi. Kini dia sudah berada di laluan akses terhad dan dia bersyukur yang laluan itu masih lengang. Kakinya pantas melankah ke kawasan gelap yang dilaluinya semalam. Pasti tak ada sesiapa menyangka dia akan bersembunyi di situ.

"Lagipun dia dah mula bermimpi, Orendale. Sama seperti Katrina." Ayahnya menyambung membuatkan langkah Alex terhenti. Apa maksud ayahnya yang dia bermimpi sama seperti ibunya? Alex bersandar di tepi dinding dan cuba memasang telinga mendengar perbualan itu dengan lebih tenang. Kali ini dia benar-benar ingin tahu apa yang dimaksudkan ayahnya.

"Kau rasa Alexandra mewarisi apa yang ada pada Lady Katrina?" Lord Orendale menyoal lagi.

"Aku tak tahu. Tapi aku perlu padamkan ingatan dia supaya dia tak ingat langsung tentang apa yang dia nampak dan mimpi. Kalau betul dia ada kebolehan tu, aku tak mahu dia tahu. Aku dah tak sanggup nak hantar orang yang aku sayang ke the pit lagi, Orendale!"

Mata Alex terbuntang luas.

"Masa aku usir Katrina ke the pit, aku terpaksa pinda ingatan Alex dan masukkan memori baru yang ibunya dah meninggal dunia sebab penyakit barah. Dan aku sanggup pinda memorinya berkali-kali asalkan dia tak tahu langsung tentang ibunya."

Alex sudah mula terduduk di lantai dengan hati yang berdebar-debar. Jadi ibunya masih hidup dan telah diusir ke the pit? Alex dapat mendengar bunyi deringan telefon di dalam headphonenya dan kedengaran suara seorang pegawai tentera melaporkan kepada mereka yang Alex telah keluar dari rumah secara tergesa-gesa.

"Cari dia sekarang!" Gabenor Anthony memberikan arahan.

Alex mengesat air mata yang mula merembes ke pipi dan berusaha sedaya-upaya mengangkat badannya. Dia menanggalkan headphone dari kepalanya dan menyangkutkan di leher dan mula mengheret kakinya perlahan-lahan di tepi dinding laluan itu dan cuba menguatkan dirinya. Sebaik sahaja dia sampai ke laluan gelap itu, dia mula melajukan langkah masuk ke kawasan gelap itu namun kakinya masih lemah dan dia kembali terduduk di lantai. Alex menekup mulutnya supaya suara tangisannya tidak kedengaran dan sekelip mata dia terbayang wajah ibunya yang sedang tersenyum.

"Alex..." Dia terdengar suatu suara memanggilnya.

Siapa?

"Alex, bangun!" Kali ini dia terdengar suara Kara terngiang-ngiang di telinganya. Dia memandang sekeliling mengharapkan Kara muncul di hadapannya.

"Kara?" Alex menyoal apabila melihat gadis berambut hitam itu sedang melutut di hadapannya.

"Apa yang berlaku, Alex?" Kara menyoal sambil mengesat air mata Alex yang bertakung di bawah matanya.

"Mama aku..." Alex tidak dapat meneruskan kata-katanya.

"Alex, kau perlu bangun sekarang! Aku dapat rasa yang kau sekarang berdekatan denganku. Kau amat dekat dengan the pit. Kau perlu bangun dan cari pintu masuk ke sini."

Alex terangguk-angguk. "Kalau aku ke sana, boleh aku berjumpa mama?"

Kara menghembuskan nafasnya ke wajah Alex. "Bangun cepat Alex!"

Alex membuka matanya dengan cepat dan dia sedar yang dia sedang terlelap di tepi dinding. Kara tidak lagi berada di depannya. Dia segera bangun dan kali ini dia lebih cergas. Benar kata Kara tadi yang dia perlu cari cara ke the pit. Dia tidak boleh berpatah balik sekarang. Alex melangkah dalam gelap ke depan dan dia benar-benar yakin dia sedang berada di kawasan larangan Mynervia. Lorong gelap itu semakin memanjang dan menuju jauh ke dalam sehingga akhirnya Alex terpandang beberapa baris cahaya yang agak malap dari jauh. Dia melajukan langkah menuju ke cahaya itu dan kepalanya terhantuk pada satu permukaan keras di hadapannya. Dia meraba-raba ke hadapan dan dia sedang berada di satu laluan mati yang berhadapan dengan sesuatu yang dirasakan seperti sebuah dinding yang besar dan kasar.

"Ini pintu ke?" Katanya apabila menyedari dia sedang memegang panel pengimbas di hadapannya. Alex mula teringat yang dia mempunyai night vision di dalam begnya lalu dia segera mengeluarkannya dari beg dan memakainya dan menghidupkan alat itu yang membolehkannya untuk melihat dalam gelap. Di hadapannya kelihatan sebuah pintu yang amat besar dua kali dari saiz ketinggiannya dan amat lebar dengan sebuah alat pengimbas diletakkan di hadapan pintu itu.

Tangan Alex menggeletar. Mungkinkah ini pintu masuk ke the pit? Teragak-agak dia meletakkan jam tangannya di hadapan alat pengimbas dan jantungnya berdegup kencang apabila kedengaran bunyi yang agak panjang dari alat itu dan pintu yang besar itu mula terbuka. Serentak dengan itu kedengaran bunyi siren yang kuat dan lampu di laluan kawasan larangan itu mula dinyalakan.

Alex tahu tidak lama lagi anggota tentera akan mula berkejar ke sini dan tanpa berfikir panjang dia melangkah masuk melalui pintu itu. Kakinya tidak berpijak pada tanah dan Alex sedar yang dia telah jatuh beberapa kaki ke bawah apabila badannya menghempap permukaan tanah yang keras dan terguling-guling semakin jauh ke bawah. Jeritannya semakin memanjang dan pada masa itu dia mula berfikir yang dia akan mati. Permukaan tanah itu semakin curam dan semakin dia berguling ke bawah, semakin gelap kawasan itu.

Kepalanya terhantuk pada ketulan-ketulan batu dan pandangan matanya semakin berpinar-pinar apabila akhirnya dia terbaring lemah di atas tanah. Matanya sempat menangkap sesusuk tubuh seorang perempuan yang menghampirinya sebelum dia pengsan tidak sedarkan diri.

4 comments:

  1. ohhhhhh plissss...plissss...sambung lagi dan lagi dan lagiiii....nak lagi....... cepat la smbung yeee... ^_____^

    ReplyDelete
  2. Oh my..siapa yg tunggu Alex tu? Best !!
    -awek cun-

    ReplyDelete