Monday 2 January 2017

The Pit : 1



"Alex......"

Suara itu bagaikan suatu bisikan mistik yang menyeru nama panggilannya. Dia menjengah ke depan mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Suara itu kedengaran seperti suara perempuan muda dan kedengaran bergema-gema seperti dari dalam gua.

"Alex..."

"Siapa panggil aku?" Dia bertanya.

"Alex...!"

Alexandra terduduk di atas katil dengan terkejut apabila pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Dia emmandang ke kiri dan kanan akhirnya menyedari yang dia berada dalam biliknya pada ketika itu. Rambut keemasan paras bahunya nampak kusut dan tidak terurus. "Siapa?" Dia menjerit walaupun suaranya sedikit serak kerana baru bangun dari tidur.

"Saya Auna." Sahut suara seorang perempuan dari luar pintu. Auna ialah pembantu peribadinya. "Nick dah sampai di ruang tamu, cik."

"Nick? Sekarang dah pukul berapa?" Alex melaung lagi lalu mula bangkit dari katil dengan cemas. Dia menjeling jam di dinding.

"Dah nak pukul 11." Auna melaung lagi membuatkan Alex menjerit. Dia sebenarnya berjanji untuk keluar dengan Nick, kawan karibnya hari itu tapi pukul 11 dia baru terjaga. Semalam pula dia sibuk mencuba-cuba game virtual terbaru yang dibelinya minggu lepas.

"Kenapa kau tak kejutkan aku?" Alex melaung lalu segera mencapai tuala dan berlari ke bilik air. Dia bersiap ala kadar dan mengenakan kemeja berwarna oren muda dan seluar berwarna coklat paras lutut. Rambutnya diikat seperti pony tail dan dia sempat tersengih ke arah bayangnya dalam cermin sebelum mencapai dompet dan telefon bimbit lalu bergegas turun ke ruang tamu.

Nick, lelaki berambut coklat bertubuh tinggi lampai sedang duduk di sofa menikmati secawan teh sambil membaca surat khabar. "Kau ni dah macam papa aku." Alex menegur.

"Dah kau tu lambat sangat!" Dia mengetuk-ngetuk sofanya dengan muka yang tidak puas hati. "Kau tahu kan konsert tu mula pukul 12? Sekarang dah nak dekat 11.30 tahu tak!"

Alex tersengih. "Aku tidur lambat semalam. Lekaslah!" Dia berjalan keluar dari rumah sambil diekori oleh Nick dari belakang.

"Mana papa kau?" Nick menyoal.

"Dia ada meeting pagi ni di Great Hall. Kenapa kau cari papa aku?"

"Tak boleh ke aku nak jumpa bakal bapa mertua aku?" Nick tersengih-sengih.

Alex melibas bahu Nick dengan pantas. "Jangan merepek! You and me, not gonna happen! Kau tu kawan baik aku, okay!"

"Yelah..!" Bibir Nick muncung. "Ni kita nak ke Nova naik apa? Aku malas kalau bodyguard kau yang ramai-ramai ni ikut kita."

"Aku tahulah! Takkanlah aku nak diorang ikut kita. Kecoh nanti kalau orang tahu anak Gabenor ada di konsert tu." Balas Alex. Dia kemudian mempamerkan wajah yang serius apabila seorang lelaki lengkap berpakain sut hitam menghampirinya.

"Cik muda nak ke mana?"

"Hari ni jangan ikut aku. Aku nak ke perpustakaan dengan Nick. Kami nak naik Pole hari ni." Alex mengarah.

"Tapi saya diarahkan oleh Tuan Gabenor untuk ikut cik ke mana saja cik pergi." Lelaki bersut membantah.

"Joseph! Aku tak pergi mana-mana lah. Aku cuma bersama dengan Nick je. Lagipun, Light Fortress bandar yang selamat, bukan? Nak takut apa?"

Lelaki bernama Joseph kelihatan teragak-agak.

"Humm.. okay. Kalau gitu, kamu boleh ikut aku. Tapi jangan ikut dekat sangat. Aku dan Nick nak naik Pole hari ni, okay. Kami tunggu kau di terminal Palace."

"What? Bukan ke kau kata kau tak nak bodyguard kau ikut...?" Nick mencelah.

Alex menjelingnya memberi isyarat supaya Nick menutup mulut. Dia kemudian menarik lengan lelaki itu lalu mereka keluar dari perkarangan rumah gabenor dan berjalan menuju ke terminal Pole yang terletak beberapa meter dari rumah rasmi Gabenor. Pole itu akan membawa mereka ke sebuah terminal utama di Mynervia yang terletak di pintu masuk bangunan utama pentadbiran Light Fortress yang dikenali sebagai Palace. Mereka seterusnya akan bertukar dan naik ke Pole lain yang lebih laju yang menuju terus ke terminal utama di Nova.

"Jangan risau! Lepas kita naik Pole, kita boleh curi-curi lari dari diorang. Lelaki berpakaian sut di tengah bandar terlalu menarik perhatian." Alex membalas. Mereka melompat masuk ke dalam Pole di terminal Palace sambil ketawa terkekeh-kekeh. 

Alex dan Nick duduk bersebelahan dalam Pole sambil memerhatikan permandangan luar melalui kaca tingkap. Pole itu bergerak laju dengan senyap dan kami dijangka sampai ke Nova dalam masa 10 minit lagi. Pole yang menghubungkan Nova dan Antrapole dengan Mynervia lebih dikawal ketat termasuk di terminal Palace memandangkan kawasan Mynervia dikhaskan sebagai kawasan pentadbiran bandar tertinggi dan kediaman-kediaman pemerintah saja. Setiap orang awam yang masuk ke Mynervia akan direkod termasuklah tujuan dan tempoh berada di sana. Nick ialah anak saudara kepada salah seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan, maka dia diberi akses ke Mynervia walaupun dia tidak menetap di situ.

"Semalam aku mimpi suara tu lagi, Nick." Alex bersuara.

"Suara yang asyik sebut nama kau tu?" Nick menyoal.

Alex berpusing menghadap kawannya lalu mengangguk. "Kalau mimpi sekali dua, aku mungkin anggap ini cuma mimpi. Tapi kalau aku mimpi setiap hari, aku rasa benda ni bukan kebetulan. Mesti ada sesuatu yang perempuan dalam mimpi aku tu cuba beritahu aku."

"Macam mana kau tahu dia perempuan? Kau nampak wajah dia? Dia cantik tak?" Nick tersengih.

Alex mengerutkan hidungnya. "Aku seriuslah, Nick! Suara yang panggil aku tu suara perempuan. Kau ingat aku tak boleh bezakan suara lelaki dengan perempuan ke?"

"Okay. So, kau nak cakap apa sebenarnya? Ada hantu cuba kacau kau dalam tidur?"

Alex mengangkat bahu. "Aku tak tahu. Tapi suara perempuan tu... macam cuba beritahu aku sesuatu."

Nick bangkit berdiri secara tiba-tiba. "Okay tuan puteri, kita dah sampai ke Nova. Sekarang kita kena terus ke tempat konsert tu. Lagi 10 minit dah nak mula." Dia menarik lengan Alex lalu berjalan keluar dari Pole yang telah berhenti di terminal utama Nova.

Sekelip mata gadis itu melupakan mimpinya apabila dia menjejakkan kaki ke kawasan tersibuk di Light Fortress. Gadis-gadis dengan fesyen menarik berjalan di hadapannya, tak kurang juga dengan lelaki-lelaki yang kacak dan bergaya. Dia mengangkat kepala memandang kereta yang terbang di udara dan laluan trafik yang amat sesak.

"Dah berapa lama kau tak jejak kaki ke Nova?" Nick bertanya sebaik saja melihat wajah gadis itu.

"Last aku ke sini dengan ibuku, empat tahun lepas. Kemudian papa tak benarkan aku ke sini seorang diri. Aku cuma ikut papa dan delegasi ahlis majlis saja jika mereka ada tugasan di sini."

Nick ketawa. "Kesian kau, Alex. Terkurung macam puteri raja. Tak ada kawan selain aku yang kacak ni. Mungkin satu hari nanti kau akan jatuh cinta padaku."

Alex menjelir lidah. "Jangan perasan!" Dia berjalan dengan teruja menuju ke sebuah bangunan berbentuk kubah yang merupakan sebuah dewan pertunjukan untuk semua persembahan dan konsert di situ. Hari ini mereka akan menonton konsert musik kumpulan penyanyi-penyanyi terkenal di kerajaan Aimsdale.

Alex teruja melihat artis-artis kegemarannya beraksi di atas pentas. Tubuhnya bergoyang mengikut pergerakan irama lagu. Namun tidak lama kemudian dia seperti mendengar namanya dipanggil. Dia menoleh ke arah Nick yang tampaknya khusyuk melihat penyanyi di atas pentas.

"Nick panggil aku ke?" Alex bertanya pada diri sendiri.

"Alex..." suara berbisik kedengaran halus berbalam-balam di telinganya membuatkan dia tersentak. Kali ini suara itu kedengaran semasa dia masih berjaga.

"Hei kau dengar tak?" Alex menarik lengan Nick.

"Dengar apa?"

"Suara perempuan panggil aku. Suara dalam mimpi aku."

Nick mengerutkan dahi. "Tak dengar apa-apa pun. Kau ni mimpi ke?"

"Alex......" Suara itu kedengaran lagi. "Cari aku..."

Kali ini, suara itu menyebut lebih dari namanya.

"Siapa kau ni?" Alex menyoal. Pada masa itu suara penyanyi di atas pentas tidak lagi kedengaran seolah-olah dia berada di bilik yang senyap sunyi.

Alex tidak nampak sesiapa pun berdekatan dengannya sekarang. Suasana menjadi gelap dan dia mulai panik. Dia mula mengangkat kaki dan berlari dalam kegelapan dengan rasa panik.

"Alex..."

"Apa kau nak, hah?" Alex menjerit.

"Cari aku..." Kata suara itu sebelum Alex dapat melihat bayang sesusuk tubuh berdiri di hadapannya. Tubuh itu berjalan menghampirinya dan apabila semakin menghampiri, dia dapat melihat wajah seorang gadis yang berambut panjang berwarna hitam. Matanya hitam bersinar, pipinya sedikit kemerahan dengan bibir yang merah merekah. Gadis itu mengangkat tangan dan mula membelai pipi Alex yang kini hanya mampu berdiri kaku.

"Cari aku di The Pit." Bisik gadis itu sebelum dia mula menghilang. Sekelip mata telinga Alex menangkap bunyi musik yang kuat dan suara Nick menjerit memanggil namanya sebelum dia pengsan tidak sedarkan diri.

4 comments:

  1. *Le gasp* this is gooood! Really good!
    Angah singgah kejap semalam dah ada first chapter!

    Sambung second chappy after angah habis exam... huhuu *cries* rasa menyesal baca skrang sebab suspen lol!

    Anyways, its good and really inspiring!

    P/s: Angah dah start ship nick n alex lolol

    ReplyDelete
    Replies
    1. :D thank you 10000000 XXXX. Wow my first reader. Hahaa.. nick n alex? maybe not gonna happen kot.. :p

      Delete
    2. *Le gasp!* Lolololol this going to be interesting Hahahahaha

      Delete
  2. gudddddd.....heheheh keep it up....cecepat update tau tau tau tau....
    neno neno neno ~ccc(,)(,)cik cekelat

    ReplyDelete