Tuesday 3 January 2017

The Pit : 3


"Bila aku fikirkan balik, aku rasa macam tak logik langsung semua benda yang aku tengok semalam." Alex berkata sambil mengunyah coklat kegemarannya. Matanya tertumpu pada muka Nick di skrin besar yang terpapar di hadapannya. Dia telah menghubungi lelaki itu dan menyambung kepada fungsi video supaya mereka boleh berbual secara live conference. 

"Mestilah tak logik. Sebab kau cuma bermimpi." Jawab Nick.

"Tapi... tapi... cuba kau fikir lagi. Mana ada orang bermimpi benda yang sama sejak beberapa bulan lepas. Mana ada orang yang boleh rasa seolah-olah mimpi tu betul-betul wujud."

"Alex, kau tidur kena basuh kaki."

Alex menjeling lelaki itu dengan tajam. "Shut up! Kau jangan ingat aku budak-budak. Aku tahulah apa yang aku rasa. Naga yang terbang tu macam betul-betul wujud. Aku boleh rasa angin kuat masa naga tu menghampiri. Aku boleh rasa ketakutan yang amat sangat masa tu. Takkanlah mimpi boleh jadi real macam ni. Lagipun... aku boleh rasa sentuhan dia juga." Fikirannya terkenang pada sentuhan Kara di pipinya dan kucupan di dahinya. Wajah Alex mula merona merah. Kenapa dia boleh malu-malu pula bila perempuan mengucup dahinya?

Dia mula teringatkan kata-kata Kara juga sebelum dia terjaga. Kenapa Kara begitu tertarik kepadanya? Kenapa dia? Kenapa bukan orang lain? Betul kah Kara tu benar-benar manusia yang wujud.

"Kau ni memang betul kena sampuk hantu, my friend!" Nick mengusik sambil menggelengkan kepalanya.

"Hei, kau tahu tentang The Pit?"Alex mula bertanya cuba untuk tidak mengendahkan usikan Nick tadi.

Nick mengangguk. "Penjara di tengah-tengah Light Fortress kan? Tempat penjenayah dan golongan unfit yang dikelilingi tembok yang tinggi naik ke bukit di tengah-tengah Mynervia. Aku tak faham pegawai kerajaan mana yang bodoh letak penjara di tengah-tengah bandar."

"Kau betul-betul rasa The Fit tu untuk golongan unfit dan penjenayah?" Alex menyoal.

"Bukankah semua orang tahu memang macam tu?" 

"Yelah, sebab tak ada sesiapa pernah ke sana kan? The Fit terletak di belakang Mynervia dan di kawasan tanah rendah. Ada tembok besar yang tutup semua kawasan tu sampaikan kita sendiri pun tak pernah nampak rupa The Pit sebenarnya. Tapi betul ke semua cerita yang kita dengar tentang tempat tu?" Alex bersuara dengan ragu-ragu.

Nick mengeluh. "Alex, jangan sebab satu mimpi mengarut, kau mula fikir bukan-bukan tentang Light Fortress." 

Alex mengangguk. "Yelah, nanti kita borak lagi." Katanya lalu terus memadamkan video tanpa menunggu jawapan dari Nick. Dia bangkit dari kerusi dan meregang-regangkan badannya.

Mungkin semua ni cuma khayalan aku. Mungkin aku ni yang gila. Dia berfikir.

Alex mula menyarungkan t-shirt dan seluar panjang dan mengikat rambutnya dengan kemas sebelum mengenakan kasut sukan yang selesa. Dia terasa seperti mahu mengambil angin di luar rumahnya dan berjalan-jalan di sekitar Mynervia. Bangunan-bangunan di lapisan Mynervia amat berbeza dengan bangunan di Nova dan Antropole. Bangunannya lebih berseni seperti rekaan bangsa yunani zaman silam dengan tiang-tiang roman yang menyokong bangunan yang tinggi. Bangunan-bangunannya lebih rapat dan berhubung di antara satu sama lain. Tanah di Mynervia lebih tinggi dan berbukit menjadikan Mynervia kelihatan seperti istana dewa-dewi Greek kuno yang terletak di atas sebuah gunung. 

Dari jauh dia melihat seorang lelaki seusia ayahnya sedang berjalan masuk dengan tergesa-gesa ke bangunan Palace. Melalui Palace, semua orang boleh terus berjalan ke bangunan-bangunan pentadbiran yang lain. "Lord Orendale." Alex menegur dan lelaki itu menoleh.

"Ah, Alexandra!" Dia mengukir senyum walaupun sebenarnya Alex tidak begitu gemar orang ramai memanggil nama penuhnya. Lord Orendale ialah salah seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan yang memegang salah satu jawatan penting di bandar itu dan menjadi salah seorang dari empat penasihat Gabenor. Tiga ahli majlis yang lain ialah Lord Hamington, Lady Miriana dan Sir Geoffrey. Lord Orendale ialah bapa saudara kepada Nick.

"Saya dengar dari Nick yang kamu pengsan semasa tengok konsert di Nova." Dia menegur sambil tersenyum. "Saya harap kamu tak apa-apa."

Alex tersengih. "Saya tak apa-apa."

"Baguslah. Papa kamu mesti risau kalau apa-apa jadi pada kamu. Yelah setelah ketiadaan ibumu.."

Alex mengangguk cuba melupakan ibunya yang telah meninggal dunia tiga tahun lalu. Dia kemudian memandang Lord Orendale. "Hari ni ada mesyuarat lagi?"

Lelaki itu mengangguk. "Ya. Ada delegasi dari Bandar Nermonia akan datang ke sini bulan depan jadi tuan Gabenor minta aturkan mesyuarat untuk sambutan."

Alex terangguk-angguk tanda dia kurang menunjukkan minat dalam urusan pentadbiran bandar itu membuatkan Lord Orendale ketawa.

"Kamu patut belajar selok-belok pentadbiran, Alexandra. Kamu bakal memegang kerusi ayahmu kelak. Lebih baik kamu belajar lebih tekun di perpustakaan." Dia menegur sambil tersenyum sebelum menepuk bahu Alex dan bergegas masuk ke Palace lalu menghilang ke arah Great Hall.

Alex mengerutkan muka tanda tidak berminat namun wajahnya tiba-tiba berubah setelah terfikirkan sesuatu. "Library! Kenapa aku tak terfikir..." Dia kemudian turut masuk Palace menuju ke terminal utama Pole di bangunan itu. Alex mahu ke Great Library yang terletak di Scholar District di Antropole. Pasti ada buku-buku berkisar The Pit di perpustakaan paling besar di bandar itu. Beberapa orang pegawai kerajaan sedang berkawal di pintu terminal itu dan dia memang tahu yang kemasukan ke Mynervia lebih dikawal ketat kerana Mynervia ialah lapisan pentadbiran.

"Saya nak ke Great Library." Alex memberitahu dan dia tahu salah seorang daripada pegawai itu mula menghubungi Joseph, ketua bodyguardnya untuk mengekorinya.

Alex masuk ke Pole dengan muka yang tidak senang. "Aku cuma nak pergi perpustakaan je pun. Tak payahlah kau ikut aku sampai macam ni."

"Tuan Gabenor yang arahkan saya ikut Cik. Saya cuma buat kerja saya je." Joseph membalas.

"Kenapa semenjak dua ni papa berkeras sangat nak bodyguard ikut aku? Dulu tak macam ni." Alex bertanya lagi.

"Soalan tu cik kena tanya kepada Tuan Gabenor sendiri." Joseph menjawab dan kemudian berdiri dengan senyap sambil memehatikan permandangan di luar.

Alex menjeling lelaki berusia akhir 20-an itu. "Duduk saje lah. Kita ebrdua je dalam Pole ni. Bukannya ada orang lain pun."

"Tak apa. Saya selesa berdiri." Joseph membalas hanya apabila ditanya.

Alex mula menggleng-gelengkan kepalanya. "Apa-apa jelah. Nanti jangan ganggu aku di library."

***

GREAT HALL, MYNERVIA

Gabenor Anthony duduk di kerusi sambil memerhatikan keempat-empat orang kanannya yang duduk di sebelah kanan dan kiri meja persidangan. Mesyuarat khas selalunya akan dihadiri oleh Gabenor dan keempat-empat ahli majlis yang membentuk majlis tertinggi pentadbiran bandar itu. Semua keputusan akan diundi berdasarkan keputusan majoriti. Di sebelah kanannya ialah Lord Orendale, orang kanan merangkap kawan karibnya sejak dulu lagi, seorang yang sangat arif tentang hal-ehwal ekonomi dan pelaburan termasuk kejuruteraan. Di sebelahnya ialah Lady Miriana yang berkaca mata yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal pendidikan, pembangunan dan penyelidikan dan juga pembangunan modal insan. Dia juga arif dalam bidang perubatan dan merangka dasar-dasar perubatan di bandar itu. Di sebelah kiri Gabenor Anthony ialah Lord Hamington yang berseragam penuh yang mengepalai angkatan tentera dan bertanggungjawab dalam risikan, soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat Light Fortress dan di sebelahnya ialah Sir Geoffrey yang arif tentang dasar dan perundangan kerajaan dan merupakan ahli majlis termuda di kalangan mereka.

"Gabenor Nermonia dan delegasinya akan datang bulan depan, jadi aku harap kita boleh aturkan majlis sambutan yang meriah. Bandar kita dan Nermonia ada hubungan yang baik sejak dulu dan mereka harapkan sambutan yang boleh buatkan mereka rasa lebih dihargai." Gabenor Anthony berkata.

"Tuan Gabenor, kita masih perlu terima kunjungan mereka ke? Takkan kita semua tak sedar situasi genting yang kita hadapi sekarang ni?" Sir Geoffrey mencelah.

Semua orang di meja persidangan itu terdiam untuk seketika sebelum Lord Hamington membuka mulut. "Tentang hal tu... semalam ada satu lagi serangan berlaku di Nova. Aku dah arahkan anak buah aku berkawal di sana. Tapi rakyat kita akan syak sesuatu sedang berlaku kalau terlalu ramai anggota tentera berkeliaran di tengah bandar di Nova."

"Serangan yang sama macam dulu?" Gabenor Anthony menyoal sambil menggosok-gosok kumisnya.

Lord Hamington mengangguk. "Letupan dari dalam badan. Organ dalaman semua rosak dan pecah seolah-olah ada bom dipasang dalam tubuh badan. Dari pemerhatian aku, serangan ni bukan dilakukan oleh orang-orang biasa."

"Unfit?" Sir Geoffrey mencelah.

"Mustahil! Tak ada lagi unfit di Light Fortress. Kita dah usir mereka ke The Pit dengan kawalan ketat. Tak mungkin Unfit boleh keluar dari tempat tu." Gabenor Anthony berkata dengan suara yang tegas. "Kau dah siasat kaitan mangsa-mangsa?" Dia memandang ke arah Lord Hamington.

"Kesemua mangsa tak ada persamaan yang jelas. Mangsa paling muda berusia 15 tahun dan yang paling tua berumur 43 tahun. Setakat ni sudah ada 8 orang mangsa dan aku risau serangan ni akan melibatkan lebih ramai orang. Aku dah minta bantuan Orendale untuk padamkan ingatan keluarga dan kenalan mangsa-mangsa melalui peranti di jam tangan mereka. Kalau terlalu ramai orang yang hilang, kita mungkin tak boleh padamkan ingatan ramai orang dalam sekelip mata dan rakyat akan mula rasa curiga dan panik."

Gabenor Anthony mengangguk bersetuju dengan kata-kata Lord Hamington. Dia kemudian memandang pula kepada Lady Miriana. "Miriana, macam mana dengan bedah siasat?"

"Tak ada unsur-unsur racun atau radiasi dalam badan atau darah semua mangsa, tuan Gabenor. Tapi..."

"Tapi apa?" Sir Geoffrey mencelah dengan cepat.

"Peranti jam tangan rakyat kita mempunyai satu kelebihan untuk mengimbas aktiviti badan dan otak pemakainya. Aku dapati mereka semua bermimpi perkara yang sama sebelum organ-organ dalaman badan mereka meletup." Wajah Lady Miriana berubah.

"Apa? Kenapa tak beritahu kami dari awal?" Gabenor Anthony kelihatan berang.

"Jangan marah dia, Anthony!" Lord Orendale menjawab sebelum sempat Lady Miriana membuka mulut. "Aku yang tak benarkan dia dedahkan pada sesiapa. Lady Miriana datang berbincnag denganku selepas serangan keempat berlaku tapi sebab perkara ni perlu lebih kepastian aku tak benarkan dia melapor kepada kau dan ahli majlis yang lain sampailah kita betul-betul tahu apa yang berlaku."

"Pendek kata, serangan ni adalah mustahil untuk dilakukan oleh manusia biasa." Lord Hamington berkata dengan suara yang perlahan.

"Kita tak boleh tolak kemungkinan yang perkara ni dilakukan oleh Unfit." Sir Geoffrey berkata dengan wajah yang takut.

"Mustahil!" Gabenor Anthony mengetap bibirnya cuba menidakkan kata-kata itu walaupun kisni hatinya sendiri berasa tidak pasti.

2 comments:

  1. Ohemgee.... this IS getting interesting! Kipidap cik writer!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you so much for your support. Bayang ending novel ni tak nampak lagi pun sebenarnye.. :D

      Delete