Saturday 31 December 2016

The Pit : Prologue


Light Fortress ialah sebuah kota yang paling kaya di kerajaan Aimsdale. Terbentuk dengan unik dari gabungan lima bandar kecil yang wujud sejak zaman sebelum perang lagi, kelima-lima bandar ini bersatu membentuk sebuah kota yang dikenali sebagai Light Fortress. Jabatan perancangan bandar menyusun atur kawasan-kawasan mengikut keperluan sebuah bandar dalam bentuk membulat dan berlapis-lapis.

Lapisan pertama yang membentuk bulatan paling besar terdiri daripada pusat-pusat ekonomi dan membeli-belah, kilang-kilang, pelabuhan antarabangsa dan lapangan terbang yang merupakan pintu masuk utama ke bandar itu dan kem-kem ketenteraan. Lapisan paling luar ini dikenali sebagai Nova.

Lapisan kedua di sebelah dalam pula dikenali sebagai Antrapole ialah kawasan perumahan termasuk sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi, perpustakaan, hospital, taman hijau untuk beriadah dan pusat kajian dan pembelajaran.

Manakala lapisan ketiga yang lebih kecil dan terletak di kawasan bercerun yang lebih tinggi pula dijadikan pusat pemerintahan bandar, dewan mesyuarat dasar dan perundangan dan bangunan-bangunan kerajaan yang penting termasuk pusat ketenteraan bagi pasukan tentera berpangkat tinggi . Rumah-rumah rasmi pemerintah tertinggi kota itu seperti Gabenor dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan juga terletak di lapisan ini. Kawasan ini dikenali sebagai Mynervia.

Light Fortress ditadbir oleh sekumpulan ahli majlis mesyuarat kerajaan yang merupakan pewaris lima bandar kecil yang membentuk pakatan kota itu dan gabenor dilantik dari kalangan lima orang pewaris itu secara undian.


Beberapa bangunan kerajaan dibina di Nova dan Antrapole bagi memudahkan urusan rakyat dengan pihak kerajaan dari segi pendaftaran hakmilik tanah, bayaran cukai dan sebagainya. Ketiga-tiga lapisan ini dihubungkan dengan keretapi laju yang dikenali sebagai Pole bagi memudahkan urusan harian. Pole bawah tanah juga menghubungkan beberapa terminal dan tempat dalam sesuatu lapisan contohnya antara sesuatu kawasan perumahan dengan pusat-pusat pengajian. Penduduk di Light Fortress terdiri daripada golongan elit, kaya dan berpelajaran. Mereka akan dibekalkan dengan nombor pengenalan sejak dilahirkan dan dipakaikan sejenis peranti di jam tangan masing-masing yang bertindak sebagai alat pengenalan diri, alat untuk membeli-belah dan menaiki Pole.

Bukan mudah untuk penduduk-penduduk bandar lain hendak masuk ke situ, walaupun mereka juga ialah rakyat kerajaan Aimsdale kerana pihak kerajaan Light Fortress mempunyai dasar imigresen dan kemasukan yang amat ketat. Setiap kemasukan dan pekerja atau pelajar dari bandar-bandar lain akan didaftarkan dan dipantau dengan baik. Walaubagaimanapun sekali seseorang berada di Light Fortress, mereka pasti berbangga menjadi rakyat bandar itu.

Namun seperti bandar lain, Light Fortress masih mempunyai titik hitamnya. Hanya segelintir orang yang tahu di tengah-tengah kota itu terdapat lapisan keempat iaitu lapisan yang tanahnya lebih rendah daripada Mynervia seolah-olah membentuk sebuah lubang kawah yang besar di tengah-tengahnya. Lapisan keempat itu dikenali sebagai Pit iaitu penjara atau kawasan buangan bagi mereka-mereka yang digelar 'unfit' di bandar itu.

No comments:

Post a Comment